Make your own free website on Tripod.com
 
UTAMA
PENGENALAN
SEJARAH
KEPIMPINAN
   Perhubungan
   Dewan Ulamak
   Dewan Pemuda
   Dewan Muslimat
KAWASAN
PROJEK
AKTIVITI
KENYATAAN RASMI
ARKIB
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Halaman ini diterbit 
Lujnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah. 
 No. 10 Lorong 14, Kg. Sembulan 
88100 Kota Kinabalu Sabah.  
 E-mail: pas.sabah@usa.net
LABEL EKSTRIM PAS LUNTUR 


Rabu 26 Jun 1998 

Oleh ALI MAMAT 

            Sejak kelahirannya pada 1951, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sering dianggap pihak lawan, khususnya Umno, sebagai sebuah parti politik ekstrim yang mengeksploitasikan isu agama dan kaum. 

            Walaupun barisan kepemimpinan PAS terdahulu menolak tuduhan seumpama itu,pemimpin-pemimpin Umno tetap berpendirian bahawa sentimen agama dan kaum itulah yang telah membantu PAS bertapak di beberapa negeri yang majoriti penduduknya Melayu/Islam seperti Kelantan dan Terengganu. 

            Akibat label "ekstrim" itu, sebilangan pemimpin atau tokoh PAS terpaksa meringkuk di dalam tahanan ISA daripada semasa ke semasa, termasuk salah seorang bekas Yang Dipertuanya,Allahyarham Prof Burhanuddin Al Helmi dan beberapa wakil rakyat, termasuk Anggota Parlimen Kubang Kerian sekarang iaitu Ahmad Sabu. 

            Bagaimanapun, label sedemikian sudah agak kurang kedengaran sejak kebelakangan ini.Akhbar-akhbar harian arus perdana, yang secara amnya mencerminkan suara parti 
anggota-anggota komponen Barisan Nasional, khususnya Umno, juga tidak segalak dahulu lagi "menyerang" PAS dengan label itu. 

            Lantas kini timbul pelbagai persoalan berhubung isu itu. Apakah PAS sememangnya sebuah parti ekstrim? Jika benar, kenapa kini tidak kedengaran lagi isu kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan sembelihan orang Umno haram yang suatu ketika dahulu hebat sekali dijaja PAS dari 
kampung ke kampung. 

            Turut dipersoalkan ialah apakah perkembangan mutakhir itu menunjukkan wujudnya perubahan sikap di kalangan orang Umno terhadap PAS, atau adakah PAS sendiri kini mengubah strategi  dan pendekatan dalam perjuangannya? 

            Persoalan-persoalan itu terjawab baru-baru ini apabila Mursyid Am parti itu yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat secara kiasan mengakui bahawa PAS sememangnya pernah menggunakan pendekatan agak keras dalam perjuangannya. 

            Beliau juga mengakui bahawa pihak lawan kini bersikap lebih lunak terhadap PAS kerana usaha  beliau  (Nik Aziz) mengubah imej PAS daripada sebuah parti yang "menyerang" kepada sebuah parti yang "menerang" telah mula melahirkan anggota dan penyokong PAS yang sederhana 
dalam tindakan dan pendekatan. 

            Bercakap pada satu majlis meraikan wartawan di sini, Nik Aziz menyamakan corak perjuangan PAS masa lampau dengan tukang besi yang hendak menempa sebilah parang selepas memperoleh sekeping besi tebal. 

            "Memanglah kepingan besi itu terpaksa terlebih dahulu dibakar kemudian diketuk, dibakar lagi dan diketuk lagi sehingga ia menjadi nipis."Setelah nipis barulah ia dilentur dan dibentuk menjadi sebilah parang. Bila sudah ada bentuk parang,  si tukang tidak boleh lagi mengetuk dengan kuat, tetapi sebaliknya hendaklah menggosok dan mengasahnya dengan lembut dan cermat," ujar beliau. 

            Menurutnya, perjuangan PAS yang berteraskan dakwah, usrah dan tabligh juga serupa. Pada peringkat awal, kaedah penyebaran Islam secara serangan terpaksa digunakan bagi memperkenal dan menerapkan dasar serta matlamat perjuangannya. 

            "Kini umat Islam rata-rata telah mengenali atau menerima PAS dan perjuangannya. Jadi pendekatan kita juga terpaksa diubah iaitu dengan mengutamakan penerangan secara lemah lembut agar kecintaan umat Islam terhadap perjuangan agama yang dibawa PAS terus dapat 
dipertingkatkan," katanya. 

            Beliau berkata: "Parang yang sudah hampir siap akan rosak semula jika tukang besi masih menggunakan cara kasar untuk membuat bentuk atau mencanainya." 

            Nik Aziz menyebut contoh kekerasan yang pernah digunakan PAS dalam menangani sesuatu isu ialah membakar akhbar-akhbar harian yang laporannya tidak secocok dengan selera parti itu. 

            "Dulu saya sendiri pernah membakar akhbar Utusan Malaysia. Tetapi, kini saya adalah salah seorang pembaca tetap akhbar itu," katanya. 

            Beliau mengakui perkembangan terbaru itu juga ada kaitannya dengan perubahan sikap yang  ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan akhbar-akhbar berkenaan yang ternyata semakin lunak dalam laporan berkaitan aktiviti semasa PAS. 

            "Dalam Islam, adalah wajib bagi umatnya membalas orang yang membuat baik kepada kita dengan kebaikan juga," tegasnya. 

            Salah satu "pembalasan baik" PAS terhadap kelunakan yang ditunjukkan pihak lawan  terhadapnya adalah dengan memberi sokongan kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang diinisiatifkan oleh kerajaan pusat yang diterajui Umno. 

            "Walaupun kita berbeza ideologi, Kerajaan PAS Kelantan akan sama-sama menyumbang kepada Dana Negara yang diwujudkan oleh kerajaan pusat untuk menghadapi kegawatan ekonomi yang sedang melanda sekarang," katanya. 

            Pendekatan berlembut yang digunakan PAS juga dapat disaksikan pada majlis perasmian Jambatan Salor, Pasir Mas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad beberapa tahun lalu. 

            Menurut Nik Aziz, walaupun tidak diundang ke majlis itu selaku Menteri Besar, beliau sanggup            menebalkan muka menghadirinya, demi meraikan "Perdana Menteri kita". Tindakannya itu telah mendorong ribuan penyokong PAS untuk turut serta memeriahkan majlis itu. 

            "Malah, apabila Dr Mahathir mengumumkan bahawa jambatan itu akan menjadi penghubung penting antara penduduk Pasir Mas dan Pekan Salor, saya terpaksa menegur dan memperbetul kenyataannya. 

            "Saya beritahu Dr Mahathir jambatan itu sebenarnya adalah penghubung penting antara kerajaan Kelantan yang didokongi PAS dan kerajaan pusat yang didokongi Umno," katanya. 

            Pendekatan berlembut yang terbaru dipamerkan PAS ialah apabila Nik Aziz secara terbuka membidas pihak asing yang mendesak agar Dr Mahathir berundur kerana kononnya bersikap anti-Yahudi dengan menuduh kaum itu bertanggungjawab menyebabkan Malaysia dilanda krisis 
ekonomi. 

            Nik Aziz menggesa orang luar itu supaya jangan campur urusan dalam negeri ini kerana mereka tiada hak menentukan siapa yang layak dan tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia. 

            "PAS mempertahankan Dr Mahathir dalam isu itu kerana ia membabitkan soal maruah," ujar  beliau dalam nada yang serius, dan secara berjenaka selepas itu, beliau berkata: "Kalau hendak suruh Dr Mahathir berundur pun, biarlah PAS yang usahakannya." 

            Sejauh mana pendekatan sederhana yang cuba diterapkan Nik Aziz telah menyerap dan dipertahankan pemimpin dan penyokong PAS di seluruh negara belumlah dapat dipastikan. 

            Apa yang nyata, pendekatan itu telah mula menguntungkan rakyat Kelantan, seperti yang dapat            disaksikan daripada taburan projek ekonomi besar yang telah mula mengalir ke negeri itu, walaupun kelulusan kebanyakan daripada projek itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat. 

            Salah satu daripadanya ialah projek raksasa yang berasaskan petroleum dan gas yang akan diusahakan bersama oleh Keloil (milik kerajaan negeri) dan KUB (milik Umno) di Bachok. - 

Bernama