utama

PENGENALAN
SEJARAH
KEPIMPINAN 
   Badan Perhubungan
   Dewan Ulamak
   Dewan Pemuda 
   Dewan Muslimat
KAWASAN
KENYATAAN RASMI
POLITIK
ARKIB

laman sabah

Kenalilah Sabah
Kerajaan Sabah 

akhbar borneo

Daily Express
Sarawak Tribune

    

SABAH - SEMASA

PAS DAN MASA DEPAN RAKYAT SABAH

FIKRAH

drbandira @hotmail.com

Oleh DR DATU BANDIRA DATU ALANG

DARI awal lagi memang saya menjangkakan bahawa saya akan dipecat daripada Umno. Jangkaan saya itu tepat sekali apabila Tan Sri Khalil Yaakub, Setiausaha Agung Umno baru-baru ini mengumumkan nama ahli-ahli Umno yang dicadangkan untuk dipecat kerana menjadi calon atau penyokong parti pembangkang.

"Penduduk luar bandar masih bergelumang dengan masalah lama. Jalan raya berlumpur, tidak berbatu/bertar. Sawah padi kering kontang kerana tiada tali air"

Sebagai bekas calon PAS di parlimen Kota Belud dalam pilihan raya ke sepuluh baru-baru ini, nama saya tidak terkecuali daripada senarai itu. Keesokan harinya maka terpampanglah nama saya di media massa, sama ada nasional atau negeri.

Meskipun dipecat daripada Umno, namun itu tidaklah menjadi kudis kepada diri saya. Rasa kesal dipecat daripada Umno tidak pernah timbul. Ini kerana saya yakin bahawa tindakan menyertai PAS adalah suatu langkah yang benar dan mengikuti landasan perjuangan kepartian yang diredhai Allah SWT serta terhindar daripada bersubahat melakukan kemungkaran.

Pada awal penyertaan dalam PAS banyak rakan-rakan rapat dalam Umno atau parti-parti komponen Barisan Nasional yang terkejut dan seolah-olah tidak percaya. Apa tidaknya, sewaktu Umno mula bertapak di Sabah, saya adalah salah seorang yang bekerja keras memastikan agar rakyat Sabah dapat menerima Umno.

Seterusnya saya menjadi ahli Jawatakuasa Pemuda Umno bahagian dan terakhir sebagai Ketua Penerangan Umno bahagian. Keterlibatan saya dalam Umno pada ketika itu kerana keinginan yang membara menyertai perjuangan kepartian.

Lebih-lebih lagi pada masa itu pula Sabah berada di bawa genggaman kerajaan Parti Bersatu Sabah yang menurut Umno bukanlah sebuah parti orang Islam.

Dengan hasutan dan janji-janji manis para pemimpin Umno Semenanjung, maka banyaklah pemimpin dari Sabah yang terpengaruh, termasuk saya, menyertai dan bekerja keras untukparti itu. Ekoran itu, Umno dipilih sebagai landasan perjuangan kepartian untuk membebaskan Sabah daripada cengkaman PBS.

Alaf Islam

Di samping itu, Umno juga mencanangkan dirinya sebagai parti yang berjuang untuk menegakkan Islam. Sebagai seorang yang amat berminat terhadap gerakan Islam, maka tanpa berfikir panjang saya pun turut menyertai Umno.

Namun setelah sekian lama bersama parti berkenaan dan ia pula memerintah negeri Sabah, barulah saya sedar bahawa apa yang digembar- gemburkan oleh Umno pada awal kemasukannya dulu dan semasa kempen pilihan raya yang baru lalu hanyalah pembohongan dan bertujuan mengabui mata rakyat Sabah semata-mata.

Menyedari hakikat itu dan memikirkan Umno bukan lagi parti yang relevan untuk alaf ini, maka saya meninggalkan nya untuk memilih PAS sebagai landasan perjuangan bagi membendung kezaliman, pembohongan, penganiayaan, penipuan dan sebagainya terhadap rakyat Sabah oleh Umno dan kuncu-kuncunya dalam BN.

Alaf baru mengetengahkan senario politik yang hanya sesuai untuk politik yang berteraskan Islam. Hanya parti politik yang berteraskan Islam dan konsep sejagat sahaja yang berupaya berpegang kepada prinsip- prinsip ketelusan, keadilan, kepemimpinan melalui teladan, kesaksamaan, pertanggung jawaban, setiakawan, kepemimpinan kredibiliti dan nilai-nilai baik yang lain.

Kemelut dan bencana kemanusiaan sepanjang abad bebas menjelaskan hakikat bahawa 'penyelesaian-penyelesaian' yang bersifat perkauman, kelompok, materialistik dan sebagainya tidak berupaya membawa keadilan dan keamanan kepada dunia.

Manusia memerlukan penyelesaian yang lebih sejagat, kekal dan adil bagi masalah-masalah mereka. Kini, agama dilihat sebagai satu-satunya harapan yang masih ada untuk manusia dan dunia.

Kalau diperhalusi sebenarnya unsur-unsur ini sebenarnya tidak ada dalam Umno. Yang ada hanyalah laungan dan slogan kosong yang direka sebegitu rupa untuk mendodoi dan mengabui pemikiran rakyat. Rakyat yang tidak faham dan cetek pemikirannya akan mudah terperangkap dalam dendangan Umno yang tidak bermakna apa-apa ini.

Janji kosong pilihan raya

Seperkara lagi yang barangkali tidak dapat dilupakan oleh rakyat Sabah termasuk saya ialah janji Umno (BN) melalui manifesto pilihan raya dalam tahun 1994. Mereka berjanji untuk mengubah wajah Sabah dalam masa seratus hari.

Janji inilah yang amat menambat hati rakyat Sabah ketika itu. Apa tidaknya, para pemimpin Umno yang terbang dari Semenanjung membawa bersama-sama mereka wang yang sebegitu banyak untuk ditaburkan kepada para pengundi.

'Gula-gula' ini menjadi umpan yang amat berkesan lantas menyebabkan rakyat Sabah meyakini akan janji-janji yang dibuat itu. Hasilnya, Sabah berjaya dikuasai oleh BN.

Malangnya, harapan Sabah berubah wajah dalam seratus hari itu hanyalah satu mimpi kepada rakyat negeri ini. Sehingga kini Sabah masih ditakuk lama.

Penduduk luar bandar masih bergelumang dengan masalah lama. Jalan raya berlumpur, tidak berbatu/bertar. Sawah padi kering kontang kerana tiada tali air. Pendatang haram masih berleluasa dan mengancam keselamatan penduduk tempatan.

Bandar-bandar kotor dan berbau busuk. Rakyat terjerat dalam kemiskinan. Keputusan peperiksaan pelajar sekolah amat lemah kerana kemudahan pendidikan serba kekurangan. Rakyat terus-menerus diperbodoh dan diperalatkan.

Boleh dikatakan Sabah tidak ubah seperti berada dalam era British. Umno dan konco-konconya dalam BN tidak bercita-cita mendidik rakyat agar mengubah paradigma kehidupan mereka. Yang wujud hanyalah beberapa kerat manusia yang mendakwa diri mereka pemimpin, menjual prinsip dan mengampu pihak-pihak tertentu di Kuala Lumpur bagi mendapatkan kedudukan atau habuan, meskipun kredibiliti kepemimpinan mereka tidak seberapa.

Kronisme dan kepimpinan Umno di Sabah

Dari sudut yang lain, boleh juga dikatakan bahawa Umno cakap tidak serupa bikin. Setiap kali pemilihan pemimpin, para pemimpinnya melaung-laungkan larangan terhadap politik wang. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Malah kebiasaan ini telah pun menjadi budaya UMNO.

Mana-mana pemimpin yang ingin menjamin kemenangan dalam pemilihan akan 'merasuahi' para perwakilan agar memilih mereka ke jawatan-jawatan yang ditandingi. Malah seseorang dikatakan terpaksa berbelanja antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk merebut jawatan Ketua cawangan. Akibatnya, kebenaran dan kredibiliti pemimpin tidak lagi menjadi kriteria yang penting.

Kewujudan kroni-kroni juga mematikan keadilan dan kewibawaan seseorang. Seseorang yang berwibawa dan berkebolehan, tetapi tidak 'dinaungi' oleh pimpinan di peringkat yang lebih tinggi nescaya tidak akan mendapat tempat di dalam parti.

Fenomena ini akan menyebabkan individu berkenaan yang meskipun berkebolehan, dipinggirkan, tetapi pada masa yang sama kehadirannya diperlukan oleh parti. Perkara ini jelas berlaku di semua peringkat Umno/BN.

Contohnya, walaupun tidak bertanding dalam pilihan raya, Dato' Pandikar Amin dan Tan Sri Kasitah Gadam masih lagi dilantik sebagai Menteri kabinet kerana hubungan rapat mereka dengan pihak-pihak tertentu di Kuala Lumpur. Mujurlah mereka tidak bertanding dalam pilihan raya baru lepas kerana Umno/BN percaya mereka akan kalah sekiranya bertanding.

PAS yang saya sertai

Setelah membuat penyelidikan yang mendalam terhadap perjuangan PAS dan mendapati bahawa ia menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai dasar perjuangannya dan sistem Islam ciptaan Allah SWT sebagai sistemnya, akhirnya saya memilih parti itu sebagai landasan perjuangan saya.

Meskipun saya kalah dalam pilihan raya parlimen yang lepas, tetapi hati nurani saya tidak dibelenggu oleh kesugulan atau kekecewaan. Sebaliknya, saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan syukur.

Kekalahan saya adalah kekalahan dalam memperkata dan menegakkan kebenaran dan keadilan. Perjuangan ini saya sedar bukanlah sesuatu yang mudah dan singkat jalannya. Tidak seperti perjuangan lain, perjuangan kebenaran tidak dibantu oleh umpan-umpan keduniaan.

Saya juga sedar bahawa bukanlah mudah untuk penduduk Sabah menerima PAS, tetapi seperti perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dahulu, dan hasil kegigihan, komitmen, usaha, keberanian, kebijaksanaan dan doa semua lapisan pimpinan dan pendokong PAS, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. [HARAKAH]

 

Laman ini diterbit dan diselenggara oleh
Lujnah Teknologi Maklumat,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

E-Mail: pas.sabah@usa.net
PAS SABAH HOMEPAGE (R) ALL RIGHT RESERVED