Make your own free website on Tripod.com
 
UTAMA
PENGENALAN
SEJARAH
KEPIMPINAN
   Perhubungan
   Dewan Ulamak
   Dewan Pemuda
   Dewan Muslimat
KAWASAN
PROJEK
AKTIVITI
KENYATAAN RASMI
ARKIB
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

Halaman ini diterbit 
Lujnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah. 
 No. 10, Lorong 14, Kg. Sembulan 
88100 Kota Kinabalu Sabah.  
 E-mail: pas.sabah@usa.net
TEMURAMAH 


Berita Sabah 
Friday, December 04, 1998 
 
TEMURAMAH EKSLUSIF KETUA PENGARANG BERITA SABAH (BS) DENGAN SDR. ABD. RAHMAN YAKUB, NAIB KETUA PEMUDA UMNO SABAH .DISIARKAN DI BERITA SABAH KELUARAN 17-23 NOVEMBER 1998. 

Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abd. Rahman Yakub diberi surat tunjuk sebab oleh UMNO KL baru-baru ini berikutan sokongannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.Apakah beliau akan  menyertai pembangkang? Ikutilah temuramah eksklusif beliau bersama Ketua Pengarang: 
  
BS : Kenapakah sdra dikenakan surat tunjuk sebab? 
Rahman : Berdasarkan surat tunjuk sebab yang saya terima saya dilaporkan menjalankan kegiatan membahagi-bahagikan kaset ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada masyarakat Kuala Penyu dan menyertai demonstrasi Reformasi di Dataran Merdeka. 

BS : Adakah tuduhan-tuduhan tersebut benar dan siapakah yang telah 
membuat laporan? 
Rahman : Saya tidak menafikan ada memberi kaset ucapan kepada beberapa orang rakan secara individu. Walau bagaimanapun tidaklah sehingga membuat majlis pembahagian secara rasmi seperti yang saya dapat fahami daripada tuduhan yang  dlaporkan. Begitu juga  memang saya hadir menyaksikan perhimpunan REFORMASI di Dataran  Merdeka. Apakah kehadiran itu dianggap sebagai menyertai atau sekadar sebagai pemerhati, terserah kepada  tanggapan masing-masing. 

Soal siapa yang membuat laporan saya langsung tidak tahu dan tidak 
berminat untuk  mengetahuinya. Saya percaya Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah juga  tidak membuat  sebarang laporan kerana YB Datuk Osu telah membuat kenyataan terbuka bahawa di Sabah  tidak ada ahli UMNO yang terlibat dengan gerakan REFORMASI. 

BS : Bagaimana pandangan sdra terhadap seruan REFORMASI oleh Datuk Seri Anwar?  
Rahman : Ada beberapa persoalan yang harus difahami sebelum kita 
menerima atau  menolak seruan tersebut. Antaranya apakah tujuan dan matlamat seruan  REFORMASI  tersebut. Jika tujuannya ialah kearah kebaikan bangsa dan negara, mengapa kita harus  menolaknya? Apatah lagi istilah REFORMASI itu sendiri mengandung makna  pembangunan, 
pembaikan, perubahan yang seluruhnya bermaksud kebaikan. Apa salahnya? Sekarang kebanyakan orang mengaitkan seruan REFORMASI dengan Datuk Seri Anwar,  pada hal Dr. Mahathir telah pun menggunakannya beberapa kali lebih awal. Kenapa  tiba-tiba seruan 
REFORMASI menjadi begitu sensitif dan seolah-olah mengandung konotasi  yang berbahaya? 

BS : Apa yang sdra maksudkan dengan perubahan? Apakah yang perlu 
dirubah dalam negara kita sekarang? 
Rahman : Apa-apa sahaja! Pokoknya adakah kita menafikan kelemahan- kelemahan dalam pentadbiran sekarang? Adakah kerajaan kita sudah cukup telus (transparen) dalam sebarang urusannya? Khususnya yang melibatkan kepentingan awam dan masyarakat luar bandar? Adakah kita benar-benar yakin tidak ada unsur-unsur rasuah, kronisme dan nepotisme dalam pemerintahan sekarang? Soalnya kita bercakap tentang nasib bangsa dan negara kita. Pada saya perkara itu tidak boleh ada kompromi. Siapa juga yang menjadi penghalang kepada usaha mengangkat martabat bangsa dan negara harus ditentang habis-habisan walaupun mereka terdiri daripada golongan atasan pemerintah sekalipun! 

BS : Sdra bercakap seperti pembangkang? 
Rahman : Pada saya kita bercakap soal kebenaran. Soal tanggapan orang 
tidak penting. Itulah yang menjadi niat saya sejak mula menyertai parti politik. Saya melihat melalui parti khususnya parti pemerintah, peluang untuk melaksanakan idealisme itu ada. Itu sebabnya saya memilih menyertai UMNO. Sehinggalah kini saya menyaksikan beberapa perkembangan yang tidak sihat dalam UMNO dan kerajaan yang wajib ditegur. 

BS : Contohnya? 
Army : UMNO sudah semakin berubah kepada kuasa diktator. Apa yang 
pernah dikritik oleh Dr. Mahathir kepada Tunku Abdul Rahman dahulu semuanya beliau lakukan semula. Kalau kita mahu tahu apa kesalahan Dr.Mahathir hari ini, baca sahajalah surat yang beliau tulis mengenai kesilapan-kesilapan Tunku dahulu, semuanya sama. Malah beliau kini sampai ke peringkat apa sahaja yang beliau perkatakan dan lakukan, mesti ditaati oleh semua ahli. Tidak boleh dipertikaikan apa tah lagi dibantah. Itu sebabnya apabila beliau silap atau salah ketika memperkatakan sesuatu isu, tidak ada siapa pun yang berani mengatakan "tidak" di hadapan Dr. Mahathir.  

Lihat sahaja sikap beliau terhadap soal bahasa dan budaya Melayu.Jelas sangat beliau langsung tidak sensitif dengan agenda mengangkat darjat Bahasa dan Bangsa Melayu. Beliau kerap kali berkata " Seseorang itu tidak akan kurang Melayunya semata-mata kerana kurang atau tidak bercakap bahasa Melayu yang baik…" Ertinya bagi beliau soal bahasa dan budaya tidak penting. Biarlah macam mana sekalipun bahasa Melayu ini, hatta sampai ke peringkat bahasa rojak sekalipun, biar macam mana rosak sekalipun budaya Melayu, tak apalah sebab kita tetap masih bangsa Melayu! Dr. Mahathir percaya bangsa Melayu hanya akan dipandang tinggi dan bermartabat jika telah mencapai kemajuan material. Dalam kontkes itu, bukan maju secara sama rata yang menjadi agenda utama Dr. 
Mahathir.  
  
Agenda utama beliau ialah melahirkan beberapa orang billioner Melayu 
sebagai simbol kemajuan orang Melayu secara keseluruhan. Itulah kapitalis kroni (crony capitalist) yang diberi segala keistimewaan, peluang, kemudahan dan bantuan apa sahaja oleh pemimpin tertinggi negara. Pada mulanya saya menyangka mereka ini orang yang benar-benar berkebolehan, saya turut bangga ada orang Melayu/Bumiputera yang 
mencapai kejayaan yang begitu membanggakan. Pada peringkat ini, Dr. Mahathir masih dapat mengabui mata rakyat bawahan seperti saya. Tetapi apabila negara mengalami kemelesitan ekonomi, barulah segalanya terbongkar. Dr. Mahathir masih mahu meneruskan segala agenda billioner Melayu itu. Jika sebelum kemelesitan, mereka diberi segala peluang dan bantuan kerajaan, kini Dr. Mahathir sanggup pula menggunakan wang ringgit kepunyaan rakyat miskin melalui Tabung Haji, KWSP dan Petronas untuk menyelamatkan kroninya yang dilanda masalah. Untuk mempertahankan tindakannya ini, Dr. Mahathir berbohong kepada 
rakyat mengatakan syarikat-syarikat ini adalah sumber pendapatan 
negara yang besar melalui bayaran cukai korporat mereka. Jika mereka tidak ditolong, kerajaan juga akan kehilangan pendapatan, dan ini akan merugikan semua pihak termasuk rakyat. Persoalannya, kemanakah perginya pendapatan berbillion ringgit yang mereka perolehi semasa keajaiban ekonomi dahulu? Kalau tiada untung maknanya pengurusnya tidak cekap, jadi apa alasan untuk terus menjadikan mereka billioner? Wajarkah wang orang kampungyang miskin digunakan untuk membillionkan mereka yang jelas tidak cekap dan tidak pandai? Lapan tahun negara menikmati kemakmuran ekonomi yang luar biasa, mereka 
masih gagal mendiri dan mampan, apa jaminan mereka akan berjaya dalam 
suasana ekonomi yang terus tidak menentu masa kini? Jika mereka sahaja yang terus-menerus dibantu, bila pula masa kita membantu masyarakat ramai yang lain? Inikah keadilan Dr. Mahathir? 

BS : Pada pendapat sdra mengapakah Dr. Mahathir begitu bersungguh- sungguh mahu  menyelamatkan the so-called crony itu? Adakah sdra berpendapat Dr Mahathir mempunyai kepentingan peribadi dalam syarikat-syarikat mereka? 
Rahman : Saya tidak menolak kemungkinan itu, cuma saya belum mempunyai bukti yang benar-benar konkrit untuk membuat tuduhan terbuka seperti itu. Tetapi dari perspektif yang lain, Dr. Mahathir Nampaknya terlalu gemarkan soal simbol. Menara kembar tertinggi di 
dunia, Jambatan terpanjang, Lapangan terbang tercantik, Istana rasmi 
yang termahal dan tercantik, - bukankah ini semua adalah simbol? Jadi, billioner Melayu yang cuba diciptanya itu juga pada saya adalah sebahagian daripada simbol untuk menggambarkan kejayaan Melayu/ Bumiputera, walaupun hakikatnya sebahagian besar Melayu/Bumiputera hidup dalam  kemiskinan dan kedhaifan. Saya ingin bertanya adakah wajar semua ini dijadikan agenda utama pada masa banyak agenda sosial dan ekonomi yang lebih asas dan menyentuh langsung kepentingan rakyat belum dibereskan? Tidakkah "hobi aneh" Dr. Mahathir ini sebahagian daripada faktor penyumbang penting kemerosotan ekonomi negara? Tanpa menafikan kesan serangan para spekulator mata wang, Dr. Mahathir nampaknya menutup terus kemungkinan faktor dalaman sebagai antara faktor penting kemelesitan ekonomi negara.  
  
BS : Apakah lagi faktor dalaman yang menyumbang ke arah kemelesitan ekonomi negara? 
 Rahman : Soal rasuah dan nepotisme. Mukhzani Mahathir memiliki 
sekurang-kurangnya 200 buah syarikat perniagaan. Begitu juga dengan Mirzan Mahathir. Apabila menghadapi masalah, Petronas diarah membeli perniagaan Mirzan yang hampir lingkup. Pinjaman di Sime Bank beratus juta ringgit tanpa sebarang coleteral. Akibatnya bank pun lingkup. Begitu 
juga dengan adik-beradik Dr. Siti Hasmah yang semuanya "succesfull 
businessman" Dr. Mahathir sering berkata, anak-anaknya berjaya kerana bakat dan kebolehan mereka sendiri. Hakikatnya siapakah yang berani berkata "tidak" kalau nama Dr. Mahathir turut terpampang dalam persaingan? Dan siapakah yang benar-benar boleh menjamin bahawa Dr. 
Mahathir tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk menyerahkan sesuatu kontrak kepada anak-anaknya? Malah Dr. Mahathir sendiri mempunyai harta peribadi berupa sebuah resort peranginan yang besar di Los Angeles! Dari segi ini apa bezanya Dr. Mahathir dengan Soeharto?  

 BS : Tidakkah semua ini dapat ditegur melalui saluran parti? 
Rahman : Itulah yang saya maksudkan tadi tidak ada orang yang boleh 
berkata "tidak" di hadapan Dr. Mahathir. Sebagai seorang diktator, beliau tidak mahu dan sangat benci jika ditegur. Olehitu anggota Majlis tertinggi sekadar menjadi "rubber stamp" sahaja terhadap segala kehendak beliau. Saudara sendiri tahu bagaimana reaksi Dr. Mahathir dan para panglimanya terhadap Dato’ Zahid apabila membangkitkan isu rasuah, kronisme dan 
nepotisme dalam ucapan dasarnya selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Malah saya percaya itulah juga punca Datuk Seri Anwar dipecat apabila beliau banyak mengkritik kelemahan kerajaan yang memerlukan REFORMASI. 

BS : Tetapi bukankah Dr. Mahathir sudah menyatakan bahawa Anwar 
dipecat kerana masalah moral?  
Rahman : Saudara yakinkah Dr. Mahathir begitu komited dengan persoalan moral? Berapa orang pemimpin yang diambil tindakan kerana masalah moral mereka? Dengan memecat Datuk Seri Anwar, adakah UMNO kini sudah dibarisi oleh para pemimpin yang bersih dan berakhlak mulia? Pada saya Dr. Mahathir adalah pembohong besar, pada masa beliau menyingkirkan Anwar atas alasan moral, beliau menutup mata terhadap ramai pemimpin 
UMNO yang telah lama bergelumang dengan pelbagai skandal yang menjadi rahsia umum. Malah ada yang ditutup dengan sengaja oleh Dr. Mahathir sendiri. Saya percaya saudara sendiri tentu mengetahui banyak cerita-cerita disebalik tabir para pemimpin ini. Sebahagian daripada mereka yang terkenal dengan skandal inilah yang dikatakan terlibat dengan 
konspirasi memfitnah Datuk Seri Anwar. Peliknya Mahathir boleh percaya 
dengan para pemimpin yang rasuah dan penuh skandal ini. Bahkan pendedahan yang dibuat oleh Puan Marina Yussof tentang skandal sex Dr. Mahathir sendiri cukup menggambarkan betapa penipunya Dr. Mahathir! Jika Puan Marina membuat cerita pembohongan, Dr. Mahathir patut mendakwa Marina di mahkamah. Bagi saya alasan moral adalah semata-mata dalih Dr. Mahathir yang paling tidak meyakinkan. Ya, bagaimana mungkin saya yakin jika yang bercakap tentang membela moral itu ialah orang yang tidak bermoral.  

BS : Datuk Seri Anwar lebih terkenal sebagai seorang yang taat 
beragama, tetapi digambarkan sebagai seorang yang mempunyai masalah moral. Bagaimana dengan pemimpin UMNO yang lain? 
Rahman : Kita mungkin tidak cukup masa dan ruang kalau membicarakan 
satu persatu para pemimpin UMNO. Tetapi bagi saya sikap Dr. Mahathir terhadap agama Islam sangat membimbangkan. Bukan satu rahsia bagaimana Dr. Mahathir sangat marah dengan tindakan Majlis Ugama Islam Selangor yang memerintahkan supaya ditangkap gadis Islam yang terlibat dengan pertandingan ratu cantik. Pada hal undang-undang 
tersebut telahdiluluskan oleh kerajaan sendiri. Dipanggil pula satu mesyuarat untuk mengurangkan kuasa mufti yang memang sudah sedia kurang. Ulamak yang rajin menegur kerajaan, dihina dengan sewenang-wenang, seperti yang berlaku kepada Mufti Selangor Hj. 
Ishak Baharom dan Prof. Dato’ Dr. Harun Din. Hukum-hakam Islam seperti hudud dan perintah menutup aurat dipertikaikan dengan cara terbuka. Bagaimana mungkin kita menaruh harapan kepada seorang pemimpin Islam seperti ini? Dr. Mahathir bukan mempertikaikan kaedah perlaksanaan, tetapi mempertikaikan terus ajaran Islam. Pada hal dalam konteks Sabah, 
UMNO sering digambarkan sebagai parti yang membela umat Islam 
(champion of the muslim people), tetapi sikap para pemimpinnya terhadap Islam amat memeranjatkan! Bukankah ini dengan jelas menggambarkan sikap pemimpin UMNO yang memperalatkan isu agama untuk memancing pengaruh? Mereka tidak jujur dengan agama Islam, mereka hanya mahu undi orang Islam bagi mengekalkan kuasa dan kedudukan. Apabila bercakap tentang pilihan raya mereka menyebut tentang Islam, tetapi apabila menyebut tentang perlaksanaan hukum Islam, kuasa yang sedikit pun dipertikaikan, malah dihapuskan terus! Apa erti semua ini? 

BS: Jika demikian, dimanakah sdra meletakkan harapan umat Islam Sabah? 
Rahman : Umat Islam sendiri harus menentukan kedudukan mereka. Kalau 
mereka melihat UMNO sebagai tempat membela nasib, mereka harus membetulkan UMNO. Saya menyeru kepada seluruh ahli dan pemimpin UMNO dari peringkat cawangan, bahagian dan negeri, jika mereka benar-benar mengharapkan UMNO, mereka mesti mendesak Dr. Mahathir 
supaya meletakkan jawatan sekarang juga. Jika tidak, UMNO tidak akan 
berjaya. Saya percaya rakan-rakan saya dalam UMNO juga percaya bahawa tindak-tanduk Dr. Mahathir akhir-akhir ini tidak akan dapat membantu UMNO memenangi pilihan raya negeri yang akan datang. Malah pilihan raya umum juga! 

BS : Sdra begitu yakin? 
Rahman : Dalam konteks Sabah saya yakin. Rakyat Sabah terkenal dengan
sikap menghukum kerajaan yang lalai. Lihat sahaja sejarah pemerintahan 
parti-parti politik diSabah. Bagaimana USNO dan BERJAYA dihukum kerana kepimpinan yang semakin berleluasa dan kesilapan-kesilapan yang tidak dapat dimaafkan. PBS juga hampir dihukum walaupun mereka tetap menang dengan kelebihan yang tipis sehingga kerajaan tidak dapat 
bertahan. Kini saya rasa giliran UMNO pula yang akan diajar oleh rakyat jika mereka tidak segera membetulkan keadaan sekarang.  

Dalam konteks nasional, saya kurang arif, tetapi berdasarkan sambutan 
gerakan REFORMASI yang semakin berani, saya meramalkan suatu kejutan besar akan berlaku. Selain gerakan REFORMASI, masih ramai rakyat malah ahli UMNO yang memendam rasa kerana tidak dapat meluah perasaan secara terbuka. Mereka ini hanya menunggu pilihanraya untuk menunjukkan protes secara selamat. 
  
 Sudah terlalu banyak dosa dan keterlanjuran yang dilakukan oleh UMNO 
di bawah Dr. Mahathir. Takkanlah rakyat Malaysia masih dapat bersabar lagi! Daripada Raja-Raja dan Sultan yang diturunkan kuasanya (kini kuasa itu diambil alih oleh Dr. Mahathir) Pemecatan Tun Salleh Abas Hakim Mahkamah Agung yang tidak bersalah (kecuali dosanya ialah mengharamkan UMNO) Peristiwa berdarah Memali (pembunuhan beramai-ramai orang kampung) Membataskan pengagihan kek ekonomi kepada sekelompok kroni sahaja (yang diketuai oleh George Soros Malaysia – Tun Daim) Menggunakan wang rakyat miskin untuk 
menyelamatkan kroninya yang tidak cekap dan gagal. Membohongi rakyat 
Malaysia kononnya anak-anaknya berjaya kerana bakat dan kecekapan (pada hal Dr. Mahathir menghabiskan duit negara untuk menyelamatkan anak-anaknya) Menghina para ulamak khususnya para mufti, Mempertikai hukum-hakam Islam secara terbuka, ‘Over-ruled’ larangan konsert Michael Jackson (kerana penganjurnya ialah Marina Mahathir) pada hal ketika itu seluruh negara, terutamanya Dr. Mahathir sendiri, bercakap tentang isu keruntuhan moral generasi muda, Memalukan Datuk Seri Anwar dengan menyebarkan secara ‘worl-wide’ tuduhan-tuduhan yang tidak berasas, Menutup dan menyembunyikan kes rakan-rakannya yang terang bersalah, Dosa apa lagikah yang ditunggu oleh rakyat Malaysia untuk menggulingkan Dr. Mahathir? 
  
BS : Jika diberi kesempatan apakah tema pilihan raya yang akan saudara bawa? 
Rahman : SELAMATKAN MALAYSIA. 
  
BS : Boleh jelaskan sedikit 
Rahman : Apa yang sedang Dr. Mahathir lakukan berserta para kroninya 
sekarang menuju ke arah kehancuran negara. Dulu Dr. Mahathir telah melakukan yang terbaik untuk negara, tetapi kini beliau sendiri yang memusnahkanya kembali tanpa beliau sedari. Dr. Mahathir telah mencapai anti klimaks dalam pemerintahannya. Masanya sudah berakhir. Beliau mesti didesak supaya berundur. Itu sahaja cara untuk menyelamatkan negara 
Malaysia.  


SDR. ABDUL RAHMAN YAAKUB ADALAH NAIB KETUA PEMUDA UMNO NEGERI SABAH.BELIAU JUGA ADALAH KETUA PEMUDA UMNO BAHAGIAN BEUFORT. SDR. ABDUL RAHMAN ADALAH BEKAS AKTIVIS ABIM DAN KINI MENJAWAT BEBERAPA JAWATAN KHUSUNYA PERSATAUN BELIA SEPERTI SANYA.