Make your own free website on Tripod.com
 
UTAMA
PENGENALAN
SEJARAH
KEPIMPINAN
   Perhubungan
   Dewan Ulamak
   Dewan Pemuda
   Dewan Muslimat
KAWASAN
KENYATAAN RASMI
ARKIB
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 

Halaman ini diterbit 
Lujnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Sabah. 
 No. 10, Lorong 14, Kg. Sembulan Baru 88100 Kota Kinabalu Sabah.  
 E-mail: pas.sabah@usa.net
NEGARA ISLAM MATLAMAT PERJUANGAN PAS


 
DI BAWAH ini ialah sedutan daripada wawancara Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd. Noor dengan penulis Joceline Tan yang disiarkan oleh akhbar The New Sunday Times minggu lalu. 
 

SOALAN: PAS nampaknya begitu yakin mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang? 

JAWAPAN: Ya, kami akan menang sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara demokratik dan adil. Insyallah, kami akan mengekalkan Kelantan dan mencapai kemenangan di beberapa buah negeri pantai timur dan negeri di utara seperti Terengganu, Pahang dan Perlis dan Kedah. 

S: Hanya lima negeri saja? 

J: Kami bercakap tentang sebuah kerajaan campuran. Kami percaya wujud hasrat yang kuat di kalangan rakyat bukan sekadar mengurangkan dua pertiga majoriti Barisan Nasional sebaliknya menubuhkan sebuah kerajaan baru. 

S: Adakah anda mendapat sokongan dari bukan Islam? 

J: Ya, memang ada masalah di sana yang kami ingin menyelesaikannya dengan memberi penjelasan kepada mereka .... jangan bimbang menyokong PAS atau reformasi kerana kami bertujuan membawa sesuatu yang berfaedah dan keadilan bagi rakyat. Kami mahu memberitahu mereka: Jangan terpengaruh dengan dakyah BN.

Mereka telah menyaksikan apa yang dilakukan oleh PAS di Kelantan. Selain itu, Islam mengamalkan kesederhanaan. Saya fikir ramai bukan Islam sudah mengetahui tentang Islam sekarang ... kerana ramai yang sudah belajar di universiti dan mengetahui tentang Islam. 

S: Yang demikian anda menjadi PM akan datang? 

J: (Sambil ketawa) Saya fikir, tak perlu jawab soalan ini. 

S: Sekiranya anda menjadi Perdana Menteri, anda akan tinggal di Putrajaya, di kediaman yang dikritik oleh PAS. 

J: (Sekali lagi ketawa). Menurut Islam; jurang antara pemimpin dan rakyat tidak semestinya terlalu luas, kalau tidak ia bercanggah dengan Islam. Kami mengkritik pembinaan bangunan itu kerana Sri Perdana masih baru dan selesa dan tidak perlu membina satu lagi kediaman yang mewah. 

S: Adakah Malaysia akan menjadi negara Islam sekiranya pembangkang menang? 

 J: Sebuah Negara Islam bukannya boleh diwujudkan dengan mudah. Yang pertama rakyat hendaklah diberi kefahaman mengenai kerajaan itu dan menerima rancangannya itu. Jika mereka memahami apa yang melibatkan sesebuah negara Islam, mereka akan mengetahui ia akan adil kepada setiap orang. Ya, memang matlamat kami mewujudkan Negara Islam. 

 S: Adakah beberapa contoh yang terbaik bagi sesebuah negara Islam...untuk menghapuskan kebimbangan orang bukan Islam? 

J: Pada masa ini, tidak ada contoh-contoh yang serupa dengan yang kami ketahui dari Quran dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. 

Saya ingin menegaskan bahawa konsep sesebuah Negara Islam adalah berkait rapat dengan prinsip Islam daripada sebuah negara. 

S: Bahkan bukan Iran dan Sudan? 

J: Tidak, pada waktu ini. Negara Islamtersebut masih dalam proses menuju ke arah sebuah Negara Islam. Tetapi tiada suatu pun mencerminkan konsep seperti yang ditentukan dalam sunnah. Mereka sedang menuju ke arah tersebut. 

 Bahkan Iran pun masih dalam proses membentuk dan membina ke arah itu. Ketika kami berbincang dengan pemimpin-pemimpinnya, mereka tidak mendakwa negara mereka sebuah negara Islam, tetapi menyatakan mereka sedang menuju ke arah itu. 

S: Yang demikian PAS juga akan mencuba dengan konsep Negara Islam? 

 J: Seperti yang saya selalu tegaskan bahawa perjuangan kami adalah menerusi proses demokrasi iaitu memberi rakyat hak dan kebebasan memilih kerajaan. Jika majoriti rakyat mengundi kami,
 kami menghormati hasrat mereka dan akan mempertahankan demokrasi. 

 S: PAS menyatakan ia akan menyokong Datin Seri Dr. wan Azizah jika beliau bertanding di kawasan Kubang Pasu. Mengapa tidak anda yang bertanding di Kubang Pasu? Presiden PAS lawan Presiden Umno. 

J: Kami lebih suka menyerahkan soalan ini kepada muktamar. Kubang Pasu memang merupakan kawasan Umno. PM bertanding di kawasan itu sejak tahun 1984 tapi tidak bererti kami tidak bersedia melawannya di Kubang Pasu, kami telah selalu bertanding di situ. 

 Tetapi jika anda bertanya kenapa saya tidak bertanding di Kubang Pasu, anda hendaklah juga bertanya PM kenapa beliau tidak bertanding di kawasan lain. Saya cabar beliau supaya bertanding di Kuala Kedah dalam pilihan raya lalu. Tetapi ini terserahlah kepada Wan Azizah memutuskannya.

Beliau kini sudah ada parti sendiri sekarang. Kalau beliau hendak bertanding di situ PAS akan memberi sokongan kepada beliau. 

S: Bagaimana kesihatan anda sekarang? 

J: Alhamdulillah. Saya menghidap kencing manis sejak penghujung tahun 1980-an, tapi ia terkawal. Sudah tentu saya sihat untuk menghadapi pilihan raya umum nanti. 

S: Adakah anda menyokong penubuhan Parti Keadilan Nasional 

 J: Sesetengah penyokong reformasi menyertai PAS, manakala yang lain mahu tubuhkan parti sendiri. Kami tidak menyekat mereka, tapi jika mereka bekerjasama dengan PAS ia akan menjadikan kami lebih kuat dalam menentang BN. 

S: Sesetengah orang mengatakan PAS telah mengeksploitasikan isu Anwar untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dan bukan Melayu di bandar. 

J: Isunya sekarang bukannya eskploitasi tetapi mengenai keadilan. Bila dia dipecat kami tidak bertindak kerana kami menganggapnya ia adalah hak Umno. Tetapi sebaik saja kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kami bertindak kerana kami menentang ISA. Kemudian timbul isu Rahim Noor pukul Anwar. 

Dan memandangkan isterinya, Dr. Wan Azizah menghadapi banyak masalah maka kami menyediakan dia platform untuk bertindak. Malahan PM pun bercakap di platform kami apabila beliau dipecat dari Umno demikian juga Tengku Razaleigh....PAS memberi peluang memulihkan kedudukannya. 

S: Adakah PAS akan menghapuskan ISA jika ia menang? 

J: Ya, dan undang-undang lain yang seumpamanya. Tetapi semua ini tidak boleh diubah kecuali BN digulingkan. 

S: Umno telah banyak melaksanakan projek dan program Islam. Adakah adil mengatakan bahawa Umno tidak Islamik? 

 J: Kami tidak menafikan semua ini tetapi Islam bukannya sekadar mengenai projek. Kuasa mestilah digunakan demi kepentingan rakyat. 

S: Adakah ummah berpecah kerana kita mempunyai dua kumpulan besar politik Islam yang bertelagah? 

J: Konflik dalam Islam adalah biasa, terutamanya jika terdapat ketidakadilan dan bila pemerintah melalukan sesuatu bercanggah dengan prinsip Islam. Kerana itulah kami mahukan umat Islam di Malaysia menyokong PAS. Kami yakin boleh menyatukan umat Islam. 

S: Bilakah akan wujud pakatan pilihan raya di kalangan pembangkang? 

 J: Saya tidak boleh membincangkannya sekarang. Pandangan DAP mengenai pilihan raya akan datang berbeza sedikit dengan pandangan kami. Ia (DAP) hanya mahu mengurangakan majoriti dua pertiga BN. Matlamat PAS ialah membentuk kerajaan baru. Apa yang kami ingin capai tidak boleh didapati tanpa perubahan politik menyeluruh. 

S: Dapatkah DAP menerima konsep Negara Islam? 

J: Itu satu faktor lain. Tetapi seperti yang kami telah katakan, kami kena memberi lebih banyak penerangan kepada bukan Melayu kerana terdapat banyak propaganda mengenai Negara Islam itu. 

S: Adakah anda bersedia menghadapi pilihan raya umum? 

J: Ya, inilah peluang terbaik kami.